Kedengaran beberapa letupan bom dipercayai daripada jet pejuang tentera dijatuhkan di Kampung Tanduo, dekat sini yang menjadi lokasi persembunyian kumpulan penceroboh dari Selatan Filipina.
Sejak jam 7 pagi tadi, kedengaran empat kali bunyi bom dari hotel wartawan yang membuat liputan yang terletak kira-kira 20 km dari lokasi kejadian.
Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada jam 7 pagi ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan di sini hari ini.
DOA BUATMU PERWIRA NEGARA
Bismillahirrahmanirrahim :
Ya Allah Ya Tuhan kami, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kebesaran. Tuhan penganugerah keselamatan dan kesejahteraan. Kami hamba-hamba-Mu menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk dihitungnya, atas keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan dan kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini Ya Allah.
Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau campakkanlah jaluran kerahmatan yang berpanjangan kepada kami, Engkau simpulkanlah ikatan ukhwah penuh keserasian, Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh keinsafan, Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan, Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat kami, anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.
Wahai pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara, bangkit dan bersumpahlah berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah, bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh bersejarah ini, diinjak pijak, disentap rentap, diselat lipat dek musuh durjana petualang bangsa ya Allah.
Tidak akan kami biarkan, biar ia putih bersih, tidak akan kami biarkan ya Allah, biarkan kami mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan, huru hara dan pencerobohan. Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa, agama dan negara Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu ya Salam.
Ameen Ya ALLAH
- BERNAMA
Comments
Powered by Facebook Comments

